19 January 2017

Selami Dunia Persekolahan Anak Kita



Bila anak kita telah mula bersekolah, mereka akan mendapat kawan baru. Dalam ramai kawannya , mesti akan ada yang berkawan dengan anak kita. Justeru itu apa salahnya kita mengambil peluang ini untuk mengenali rakan anak kita. Ini tips bagaimana mahu membina hubungan mesra dengan kawan rapat anak kita berdasarkan pengalaman saya 3 hari yang lalu. Pulang dari kerja, saya telah berjumpa dua orang kawan Aqil yang kebetulan berada di rumah emak mertua saya untuk bermain bersama. Mereka berada di dalam darjah satu



1. Mulakan perbualan santai dengan rakannya. Tanyakan siapa nama. Anak kepada siapa. Tinggal di mana. Ini secara tidak langsung, kita dapat mengetahui latar belakang keluarga mereka dan kenal dengan kedua orang tua mereka pun cukup bagus untuk  membina hubungan baik dengan mereka selepas itu.

2. Berikan kata pujian kepada rakan anak kita ini agar mereka berasa selesa dengan kita. Ketika dalam perbualan mesra dengan mereka, biarkan anak kita yang bercerita panjang lebar mengenai rakan-rakan kelasnya. Ini sedikit sebanyak boleh memberikan gambaran kepada kita mengenai suasana dan hubungan kawan di dalam kelas itu.

3. Setelah rakannya berasa selesa dengan yakin berinteraksi dengan kita, mulakan satu permainan. Buat teka teki untuk mereka. Siapa yang dapat jawab teka teki akan diberikan ganjaran. Boleh tanyakan mereka seperti rukun Iman, rukun Islam, siapa nama guru kelas atau lain-lain soalan dengan lemah lembut. Kalau mereka tidak tahu, berikan jawapan jelas kepada mereka. Sekurang-kurangnya, mereka telah belajar sesuatu dari kita. 

4. Raikan mereka lagi dengan menyediakan sedikit hidangan juadah untuk mereka. Dalam perbualan, selitkan kata-kata nasihat untuk mereka termasuk kepada anak kita seperti pukul berapa boleh berjumpa untuk bermain bersama, meminta izin atau memberitahu ibubapa kemana mereka keluar, mahu berjumpa dengan siapa atau apa-apa nasihat yang baik untuk mereka

Kita tidak mampu mengawal semua gerak-geri anak walaupun kita bimbangkan tentang percampuran anak kita bersama rakan-rakannya di sekolah. Namun kita telah mengambil langkah pertama dengan mengenali lebih dekat kawan-kawan yang sering bersama dengan anak kita. Di sekolah mereka bukan setakat belajar akademik tetapi mereka sedang belajar membina kemahiran jaringan sosial. Justeru itu, kita sebagai ibubapa yang bertanggungjawab mendidik mengenai adab dan tertib kepada anak kita semasa mereka berada di sekolah.

Sebagai ibubapa dalam dunia yang mencabar, kita kena terima hakikat yang zaman sekolah dulu dan sekarang lain. Guru-guru sekarang pun mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu digalas semasa di sekolah. Kita ajar anak kita sambil ajar anak orang lain semasa mereka sedang menjadi teman rapat anak kita agar mereka mempunyai sifat saling menghormati antara satu sama lain.

No comments: