03 December 2013

Pengalaman Ketika Anak Mengalami Simptom Kecederaan Di Kepala

Aku ingin berkongsi dengan tuan dan puan pembaca blog pengalaman aku ketika berlaku kecemasan di rumah . Malang tidak berbau bila anak kita di timpa kemalangan dirumah .

Pada hari Ahad yang lepas , Annur Dahlia Iffah , aku panggil nama manjanya Adik/bunga jatuh dari katil kami semasa dia sedang tidur . Kuat bunyi jatuhannya kerana aku berada di belakang dapur boleh mendengarnya bunyi itu . Aku berlari mendapatkan adik yang telah pun menangis dengan kuat . Aku mendukungnya lalu mengusap kepalanya dan terus memujuk . Dia menangis sangat kuat . Hati saya sudah pun diselubungi perasaan kebimbangan. Selepas 5 minit adik berhenti menangis . Aku meletakkan adik di kereta abangnya untuk aku menyediakan makanan adik . Kemudian aku memberikan adik makan . Menyuapkan adik nasi beberapa sudu . Selepas itu dia menolaknya tidak mahu makan . Aku memerhati  dan mengawasi tingkah laku adik . Nampak dia seakan seperti terkejut dan diam sahaja. Kebiasaannya adik selepas bangun tidur dia akan terus aktif bangun ketawa riang , berjalan dan bermain. Aku membuatkan susu untuk adik dan dia menghisap botol susunya . Tidak sampai 5 minit dia telah menghabiskan susunya , adik memuntahkan kembali susunya. 'Allah!' , fikiran aku menandakan ada sesuatu yang berlaku pada adik ini. Yang pasti , anak yang baru berusia setahun tempurng kepalanya masih lagi lembut . Aku memberitahu pada isteri aku yang juga baru balik dari kerja . " Kita kena hantar adik pergi ke hospital ni bang " kata isteri saya.

Kebimbangan kami makin menjadi kerana adik muntah buat kali kedua , ketiga dan keempat . Kami bergegas. Cepat-cepat bersiap . Sedang bersiap-siap , adik sekali lagi muntah termasuk keluar dari hidung . ' Ya Allah , janganlah berlaku apa-apa yang serius kepada anakku ini ' . Aku melihat adik seperti ingin terus didukung dan dipeluk . Aku terus memeluknya . Dalam perjalanan , kami terasa mahu cepat sampai di  hospital . Jarak di antara hospital dan rumah lebih kurang 15 kilometer . Di dalam perjalanan adik muntah sekali lagi. ' Ahh adik , bertahan ye untuk sampai di hospital ' .Aku tidak boleh laju membawa kereta kerana jalan yang sibuk ditambah pula hujan yang lebat. Sudah 3 hari hujan berterusan di tanah Segamat sehingga kini. Merenung jauh mata adiik kepadaku. Adik dipangku oleh isteri yang dipanggil umi. Adik seperti orang yang kepeningan . Meletakkan kepalanya di sisi isteriku . Manakala isteriku seperti orang mahu menangis . Aku memanggil namanya , cuba membuatkan dia ketawa . Begitu juga abangnya , cuba bermain ba cak dengan adik dia . Adik cuma tersenyum sahaja . Hati aku telah diselubungi perasaan yang amat bersalah . Sampai sahaja di hospital adik terus masuk ke kecemasan . Darahnya diambil . Doktor mengambil keterangan aku. Pukul berapa jatuh ? Di mana dia jatuh ? Berapa ketinggian katil yang dia jatuh itu ? Berapa kalikah dia muntah ? Ada tidak dia pengsan selepas jatuh itu ? Ada kesan benjolan atau bengkak di sekitar kepalanya ? Aku menjawab dengan setepat yang mungkin . Harapan aku agar jawapan itu dapat membantu doktor mengenai keadaan anakku itu . Keadaan anak ku si Bunga Dahlia stabil . Itu daripada luaran yang aku tengok . Keseriusan kecederaan dalaman di kepalanya aku tidak pasti. Dan aku berharap sangat , ia tidak terjadi . Adik di hantar untuk x-ray . Dalam bilik x-ray , dia menangis . Aku memujuknya agar tidak menangis . Proses ambil x-ray cuma 5 minit sahaja . X-ray yang diambil kepala dan sisi kepala . Sebanyak 4 kali x ray dilakukan . Setelah itu kami menunggu keputusan x-ray di bilik kecemasan . Kebetulan pada waktu Maghrib , doktor sedang menunaikan solatnya . Aku membuatkan susu adik kerana dia menangis lagi . Mungkin kepenatan menangis juga agaknya menyebabkan dia haus. Doktor perempuan yang mula-mula memeriksa anak aku tadi memberikan penjelasan hasil ujian x-ray berkenaan , tiada sebarang keretakan mahupun patah tulang di kepala anakku. Walau bagaimanapun , doktor menasihatkan agar adik ditahan wad untuk pemerhatian selama 1 hari . Manalah tahu jikalau berlaku sesuatu yang mengejutkan . 

Pada mulanya isteriku mahu dia bawa pulang ke rumah sahaja . Sebabnya isteriku tahu simptom - simptom kesan apabila seseorang mengalami kecederaan di kepala . Memanglah seorang jururawat juga . Lagipun isteriku sedang mengandung 5 bulan lebih . Pengalaman tidur  di hospital menemani anak pertama juga membuatkan isteriku seperti serik. Tapi , mahu tidak mahu terpaksa juga adik ditahan wad kerana untuk kali ke enam adik muntah selepas minum susu. Adik ditempatkan di wad kanak-kanak dan dimasukkan tiub air di tangannya . Aku balik ke rumah semula bersama anak sulungku si Aqil . Aku menghantar dia ke rumah emak mertua aku pada malam itu juga supaya dia tidur di sana . Dan aku kembali semula ke hospital. Dalam fikiran aku , seperti automatik memikirkan perkara yang buruk. Doa aku kepada tuhan agar aku masih lagi dapat dipinjamkan Adik lagi . Malam itu aku tidur di hospital menemani isteriku . Aku tidur dalam kereta . Aku masuk ke dalam wad cuma 2 ,3 kali sahaja menjengok keadaan adik dan juga isteriku . Adik tidur lena . Kata isteriku , selepas dia ada main sedikit , dia menangis. Isteriku menepuknya lalu dia tidur. Kasihan melihat adik tidur dalam keadaan tidak selesa dengan tiub yang mengalirkan air di tangannya Kasihan juga melihat isteri yang sarat mengandung menjaga anak di dalam wad kan ? Tidur-tidur ayam di atas kerusi malas sahaja . Namun isteriku telah biasa dengan suasana malam seperti itu . Isteriku sebagai jururawat biasa bekerja pada shift malam . Sehinggalah keesokan harinya ( Isnin semalam ) selepas aku pulang ke rumah dahulu , aku kembali ke hospital , aku dapati adik sudah bangun . Dia sedang menikmati sarapan rotinya. Tersenyum dia kepada aku . Aku melemparkan kembali senyuman padanya. Seakan sakitnya sudah hilang .

Aku bermain dengan adik . Dia ceria , aktif , dan tidak muntah lagi . Pada pukul 4 pagi aku ada membuatkannya susu kerana dia menangis hendak susu . Jadi setakat itu , adik tidak muntah lagi selepas minum susu itu . Doktor yang datang memeriksa keadaannya berkata adik sudah boleh balik . Tapi perlu menunggu doktor pakar kanak-kanak pula untuk mengesahkan keadaannya terlebih dahulu . Semasa menunggu doktor pakar datang melihat keadannya , adik bermain, berdiri , ketawa , menjerit dan berpusing-pusing di katilnya . Itulah yang aku mengharapkan dalam doaku kepada Allah s.w.t daripada semalam. Melihat dia kembali sihat. Setelah doktor pakar datang melihat keadaannya , doktor membenarkan dia di 'Discaj' .Namun ada beberapa prosedur yang perlu aku patuhi selepas membawa pulang bungaku ke rumah.
Semasa berada di dalam wad kecemasan

Tidur dengan cara tersendiri .Tapi di tangan kirinya terdapat tiub air

Aku mengambil gambar bersamanya selepas dibenarkan balik .Dia memang begitu ceria .

Perkara yang perlu di patuhi itu sebenarnya merupakan Protokol Kecederaan Kepala selepas dibenarkan keluar dari Jabatan Kecemasan seperti berikut :-

1. Mangsa kecederaan kepala tidak boleh di tinggalkan seorang diri selama satu hari
2. Mesti berjumpa  dengan doktor segera bila ada tanda-tanda seperti berikut :-
            a. Sakit kepala yang kuat
            b. Muntah ( walaupun sekali )
            c. Sawan
            d. Pening yang kuat
            e. Hilang ingatan
            f. Kabur penglihatan.

Kejadian itu membuatkan aku berazam untuk lebih berwaspada lagi mengenai pengawasan dan keselamatan anak di rumah .  Walaupun katil aku itu cumalah tinggi 1 setengah kaki sahaja . Tapi ia masih berisiko lagi sebenarnya .Kata doktor dalam kes seperti begitu , memang kanak-kanak akan muntah kerana berasa pening akibat kesan jatuh . Boleh jadi teruk jikalau terjatuh dari ketinggian tempat melebihi 3 kaki keatas . Sebenarnya memang aku menyediakan tilam di atas lantai untuk anak-anakku tidur. Tidur dengan 4 orang diatas katil memang tidak muat . Lagipun anakku tidur lasak. Aku berharap ia dapat menjadi teladan dan pengajaran kepada ibu bapa di luar sana . keselamatan dirumah dan persekitaran kena ditingkatkan lagi .

1. Bawa anak terus ke hospital sekiranya dia muntah , ataupun lembik tidak aktif . Jangan tunggu lama - lama .  Dalam masa 1 jam pun boleh berlaku risiko yang teruk.
2. Terangkan hal sebenarnya kepada doktor . Jangan sembunyikan maklumat .
3. Bersikap tenang dan sentiasa berdoa pada Allah .
4. Kena memberikan sokongan pada isteri .

Alhamdulillah,Alhamdulillah,Alhamdulillah
Syukur diatas segalanya .

Allahu Akbar!!!

P/s : Adik baru sahaja menyambut hari lahir yang pertama pada 18 November 2013 .












4 comments:

Denaihati said...

Alhamdulillah takde yang serius pada anak bro. semoga ramai yang dapat manfaatnya dengan perkongsian ni.

Shahrul Yusof said...

Alhamdulillah dah boleh pulih seperti biasa.

Kita parent memang berjaga-jaga, cuma sekali-sekala teralit sikit dengan tugas di rumah. Budak-budak ni memang macam tu lah pe'elnya, lasak sikit umur-umur baya Adik tu.

Syukurlah Adik dah sembuh :)

Anonymous said...

Bila saya baca dia jatuh, saya jangka dia pasti pening dan rasa mual-mual nak muntah.. Bila diberi susu atau makanan memang confirm muntah.. Kejadian normal bila kepala pening.. Alhamdulillah dah kembali keadaan biasa.. Cuba tengokkan jika ada urat leher yang perlu diurut perlahan-lahan..

PuteraOhtraBulan said...


Tuan Denai Hati : Alhamdulillah Terima kasih tuan

Sylarius Yusof : Benar tuan,anak-anak lasak,huish..penat2x pun memnag hadiah dari Allah s.w.t

Waima Takwa : Terima kasih atas nasihat tu. alhamdulillah , ada juga urutkan badannya termasuk di lehernya dengan urutan perlahan